Tuesday, July 28, 2009

Permohonan Anwar ketepi larangan berhimpun didengar semula (Utusan Malaysia Online - 28.7.2009)

KUALA LUMPUR 27 Julai - Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan perintah larangan berhimpun di pekarangan bangunan Parlimen pada Julai tahun lalu akan didengar semula dan diputuskan oleh Mahkamah Majistret.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Zainal Azman Ab. Aziz selepas membenarkan rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonannya itu.

Dalam keputusannya hari ini, Zainal Azman menyatakan majistret telah terkhilaf semasa memutuskan bahawa permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak perlu lagi didengar kerana telah menjadi akademik.

''Permohonan perayu (Anwar) telah dibuat sebelum tempoh luput perintah dalam masa tujuh hari, tetapi ia telah didengar selepas tempoh tujuh hari berakhir.

''Sama ada perintah itu masih hidup atau telah luput bukanlah suatu persoalan yang perlu didengar. Permohonan perayu telah dibuat secara teratur dan hendaklah diputuskan atas merit,'' kata Zainal Azman.

Anwar mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret pada 15 Disember tahun lepas yang membenarkan bantahan awal pendakwa raya dan menolak permohonannya untuk membatalkan atau mengetepikan perintah larangan itu.

Dalam rayuan tersebut, beliau menegaskan bahawa permohonan itu belum menjadi akademik dan masih boleh didengar dan diputuskan atas kepentingan awam.

Di samping itu, Anwar mencabar kuasa majistret untuk membatal atau mengubah sesuatu perintah yang dibuat di bawah Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 18 Julai tahun lalu, Anwar mengemukakan permohonan untuk membatalkan perintah Mahkamah Majistret bertarikh 13 Julai 2008 yang melarang beliau dan penyokong pakatan pembangkang berhimpun di hadapan bangunan Parlimen.

Perintah larangan di bawah Seksyen 98 kanun itu dikeluarkan ekoran permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan oleh Ketua Polis Daerah Sentul.

Perintah itu menyebut bahawa kecuali mendapat kebenaran polis, adalah menjadi kesalahan untuk sesiapa berada dalam lingkungan lima kilometer radius dari pekarangan bangunan Parlimen termasuk di kawasan Dataran Merdeka dan KLCC.

Perhimpunan pada 14 Julai tahun lalu itu dirancang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bantahan awal pihak pendakwa pula dibuat dengan alasan tiada isu hidup yang perlu dibicarakan kerana perintah itu telah luput dengan sendirinya dalam masa tujuh hari dari tarikh ia dikeluarkan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 98(5) kanun tersebut.

Anwar diwakili peguam Lai Chee Hoe sementara pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin.

No comments: