14-07-2008 07:44:59 PM
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan Jumaat ini bagi menentukan tarikh perbicaraan terhadap 17 anggota Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang menghadapi tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan haram pada 10 November tahun lalu.
Hakim Rozana Ali Yusoff menetapkan tarikh tersebut setelah mendengar permohonan salah seorang peguam bela, Mohd Khairuddin Othman, yang mewakili 15 tertuduh bahawa peguam utama Hanifah Maidin dan seorang tertuduh Chua Tian Chang atau Tian Chua yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat tidak dapat hadir.
Sementara itu, seorang lagi peguam G. K. Ganesan, yang mewakili seorang lagi tertuduh, K. Gobalakrishnan turut tidak hadir. Gobalakrishnan memberitahu hakim bahawa peguamnya tidak dapat hadir hari ini ke mahkamah kerana mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.
Manakala, peguam Lai Chee Hoe yang mewakili Tian Chua, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir kerana beliau berada di parlimen.
Mohd Khairuddin berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti semua dokumen yang berkaitan dengan perbicaraan dan peguam utama Hanifah tidak dapat hadir kerana mempunyai kes petisyen pilihan raya di Kuala Terengganu.
Rozana kemudian mengarahkan semua peguam yang mewakili tertuduh hadir ke mahkamah pada tarikh sebutan kes Jumaat ini dan memberi pengecualian kepada 17 tertuduh. Mengikut pertuduhan, tertuduh Mohamad Sabu, 53; dan Tian Chua, 34; dan 15 lagi menghadapi dua pertuduhan iaitu bagi tuduhan utama, mereka didakwa bersama-sama sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang, yang mana bertujuan memudaratkan awam.
Bagi tuduhan ini mereka didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. Bagi tuduhan pilihan, mereka turut didakwa bersama-sama mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut dan didakwa mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda RM10,000 dan penjara tidak melebihi setahun, jika sabit kesalahan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Istana Baru, di sini pada tarikh tersebut, kira-kira pukul 3.05 petang.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment